SKUADRON PERISAI PGA - PDRM
Jarang-jarang kita dengar tentang Skuadron Kereta Perisai PGA PDRM. Sebenarnya unit ini telah ditubuhkan pada 28 Julai 1971. Di awal penubuhannya unit ini menggunakan Kereta Perisai Ferret Scout Car. Unit ini bertindak sebagai perlindungan berperisai kepada unit-unit dalam operasi PDRM.Tahun-tahun berikutnya PDRM telah membeli beberapa lagi jenis kenderaan berperisai seperti Commando V100, Shorland, Commando V150 dan Sankey AT150 untuk kegunaan skuadron ini.
Setiap unit Skuadron Kereta Perisai juga boleh digerakkan bagi membantu dalam sesuatu operasi sama ada bagi tujuan tempur, picquet, eskot, perlindungan dan penyelamatan VIP serta kawalan keselamatan kawasan strategik juga sempadan negara. Juga untuk membawa anggota-anggota pasukan keselamatan terutamanya PGA, Tiger Platoon dan lain-lain anggota infantri ke lokasi-lokasi keselamatan dan lokasi operasi yang berbahaya.
Ia juga boleh digunakan sewaktu rusuhan yang mana boleh digunakan oleh PORU.Iaitu unit anti-rusuhan Pasukan Gerakan Am, Public Order Riot Unit PGA. Dan juga digunakan untuk menangani apa-apa isu ketenteraman awam.
Ketika insurgensi, di kawasan-kawasan hitam skuadron perisai ini biasanya memberi perlindungan kepada pasukan polis hutan. Kereta perisai bukan saja digunakan di zaman komunis malah digunakan semasa pemberontakan Al-Maunah dan Ops Daulat. Skuadron kereta perisai juga pernah dihantar ke luar negara untuk misi pengaman. Dengan adanya kereta perisai ini pelbagai operasi telah dilaksanakan dengan jayanya.
Peranan skuadron perisai ini yang pelbagai, menjadikan ia satu elemen penting dalam misi atau rondaan. Mungkin sebaik anggota melihat kehadiran kereta perisai semasa pertempuran ia dapat menaikkan semangat dan juga moral mereka. Selain itu ia boleh digunakan juga untuk memberi bantuan kepada jabatan-jabatan lain PDRM.
Kereta perisai yang digunakan oleh skuadron perisai ini dikelaskan sebagai armored fighting vehicle dimana ia boleh membawa unit tempur ke kawasan operasi. Ia lincah dan laju. Dilengkapi dengan mesingan kegunaan am untuk memberikan kuasa tembakan yang padu. Ada juga kereta perisai yang dilengkapi dengan meriam Oerlikon untuk menambahkan lagi kuasa memusnah.
Walaupun menggunakan jentera yang sudah lama dan usang, namun PDRM masih lagi berjaya menyelenggara dan membuktikan aset tersebut masih lagi boleh digunakan dan berfungsi untuk menjalankan tugas serta misi walaupun usianya sudah pun menjangkau setengah abad.
Kini Skuadron perisai diwujudkan di setiap briged PGA untuk membantu dan memberikan sokongan pada unit-unit yang lain. Skuadron ini juga aktif membuat rondaan mengawal sempadan negara dan juga di tempatkan di ESSCOM bagi menambah ketumbukan dan kekuatan angkatan bersama.
Dengan penambahan kereta perisai yang baru ini ke seluruh briged PGA, diharapkan ia dapat mengukuhkan lagi sempadan negara dan keselamatan juga memberi kelebihan pada pasukan dan unit-unit PDRM yang lain dalam menjaga kedaulatan negara lebih-lebih lagi PGA.
Salah satu kereta perisai yang popular adalah Commando v150. Ia menggabungkan kebolehan kereta perisai ringan dengan APC. Ia mempunyai set roda yang besar dan lasak, yang memberikan kebolehan dan pengendalian di pelbagai rupa bentuk muka bumi dengan baik. Ia mempunyai turet di atas, yang biasanya membawa meriam Oerlinkon. Terdapat ruang pandang kecil di hadapan untuk pemandu melihat keluar.
Jika diperhatikan kereta perisai milik PDRM ini adalah sangat kecil dan kompak. Mungkin ia sesuai dengan bentuk muka bumi Malaysia dan sesuai dengan jenis operasi atau misi yang hendak dilaksanakan.
Jika dibayangkan apabila berlakunya pertempuran di dalam hutan atau ladang - ladang kelapa sawit dentuman meriam dan tembakan automatik MGKA yang meletup seperti popcorn pastinya menggegarkan kawasan tersebut.
Jadi mungkin ini dapat membantu pergerakan ke hadapan pasukan untuk menyerang dan meneutralisasikan pihak musuh. Selain itu kereta perisai yang laju ini juga boleh berulang alik ke kawasan medan dan command post untuk transport anggota yang cedera atau membawa aset-aset penting bagi misi yang sedang dilaksanakan.
Makanya peranan skuadron kereta perisai ini tidak dapat dinafikan lagi. Pelbagai misi dan objektif dapat dicapai dengan kewujudan skuadron ini. Ini telah pun dibuktikan dari dulu lagi dan banyak pasukan keselamatan negara lain yang menggunakan kereta perisai ini dan menubuhkan unit kereta perisai dalam pasukan mereka.
Selain kereta perisai, krew kereta juga perlulah berkemahiran tinggi untuk mengendali dan menjaga kenderaan tersebut. Maknanya krew perlulah berpengetahuan dalam sistem kereta, persenjataan dan juga penyelenggaraan. Kerana di dalam saat getir krew perlu bertindak cepat dan tepat.