Tuesday, October 13, 2020

 Sarapan Satay

Sebagai anak jati Selangor dan KL, makan satay kebiasaannya adalah pada sebelah petang atau pun malam. Dan satay yang paling terkenal serta selalu menjadi pilihan ialah Satay Hj Samuri Kajang. Namun, dahulu kalau nak makan satay Kajang, memang kena pergi ke Kajang.

Setelah berkahwin, aku dihidangkan dengan satay pada waktu pagi untuk sarapan. Pada mulanya agak pelik, tetapi mudah bagi aku untuk menyesuaikan diri sebab aku memang suka makan satay. Rasanya tetap enak walaupun dimakan di awal hari.

Bezanya satay di Muar dengan satay Kajang adalah saiz isinya yang sedikit kecil berbanding satay Kajang. Namun, satay Muar dibakar lebih garing sedikit dan dagingnya lebih juicy. Terutama bahagian lemaknya—memang boleh rasa terpancut dalam mulut apabila digigit. Lagi satu, satay di sini sedikit manis. Rasa itu melengkapkan rasa pahit dari bahagian yang terbakar garing, menghasilkan kombinasi pahit-pahit manis yang sangat sedap.

Walaupun berbeza dari segi waktu makan, saiz daging, dan cara pembakaran, satay tetap dihidangkan bersama kuah kacang, timun, bawang, dan nasi impit. Perbezaan ini menjadikan pengalaman menikmati satay lebih menarik dan unik mengikut tempat masing-masing.