Gambar dari Google
“Kita masuk dalam keadaan selamat dan kita pulang pun dalam keadaan selamat” - Lt.Azri.
Bravo 5 merupakan kisah sebenar misi sulit pasukan komando ATM menyelamatkan seorang tawanan dan menggagalkan rancangan komunis pada tahun 1989. Ia mengisahkan lima anggota komando yang ditugaskan mengesan kedudukan gerila komunis yang merancang menguasai kedudukan strategik kawasan tengah Semenanjung Malaysia. Misi ini dipetik dari kisah benar Diari Misi Komando yang merupakan rahsia sulit Angkatan Tentera Malaysia.
Secara ringkasnya, Lim Yatt orang penting PGK telah berjaya melepaskan diri dari pihak polis ketika dalam perjalanan menaiki keretapi dengan bantuan pasukan subversif pengganas komunis. Kebetulannya, Koperal Kamal yang sedang bercuti berada di tempat kejadian. Akan tetapi Kpl. Kamal ditangkap dan ditawan sebagai tebusan.
Lt. Azri bersama empat anggota komando lain dalam Ronda Kumpulan Kecil (RKK) telah dikerah bagi menyelamatkan tebusan serta mengesan kedudukan musuh bagi membolehkan pasukan sahabat melenyapkan pergerakan subvesif pengganas komunis. Lt Azri dibantu oleh Sjn. Unya Anak Gawing, Kpl. Morgan a/l Murugan (Pakar Letupan dan Senjata Bantuan), Kpl. Ah Chia (Radioman) dan Trooper Karim Abdullah (Pengesan).
Semasa dalam perjalanan pulang dari operasi menyelamat dan mengesan, mereka telah diserang balas dan diburu oleh pasukan musuh yang berkuatan seramai 200 anggota PGK. Satu demi satu anggota pasukan terkorban akibat pertempuran atau ketika ditawani oleh pihak musuh. Setiap anggota memegang semangat “Biar Mati Bermaruah Jangan Mati dijajah”.
Akan tetapi penceritaan filem ini agak kabur. Aku tertanya-tanya siapa yang ditangkap pada permulaan cerita dan siapakah yang mengetuai pasukan penangkap. Selepas itu watak-watak utama mula dipaparkan. Tidak ada taklimat terperinci tentang misi yang akan dijalankan. Jadi aku agak kurang faham pada awal filem ini.
Penggunaan CGI agak kurang memuaskan. Babak pertempuran juga kurang mantap, apatah lagi bila waktu malam. Namun penggunaan prop dan wardrobe adalah terbaik.
Aku suka dengan perincian yang ditonjolkan dalam filem ini. Antaranya adalah, Trooper Karim menggunakan daun/kain untuk menutup lencana besi pada beretnya. Ini bertujuan untuk mnghalang lencana besi itu berkilauan apabila terkena cahaya matahari dan boleh mendedahkan kedudukan diri sendiri dan pasukan.
Babak lain pula adalah dimana, dipaparkan beberapa pengganas komunis yang sedang sibuk memasang jerangkap samar dan membuat tanda pada pokok. Selepas itu mereka bergerak dalam barisan, apabila mereka keluar dari frame, kamera yang ketika itu tengah shoot dari atas terus zoom dan fokus pada kawasan tanah dan kelihatan jelas kesan tapak kasut komunis tadi dimana kesan tapak kasut tersebut adalah terbalik dari pergerakan komunis tadi. Maksudnya kesan tapak kasut itu berlawanan dengan pergerakan komunis tadi. Ini adalah taktik sebenar yang digunakan oleh pengganas komunis untuk mengelirukan pasukan keselamatan.
Antara perincian lain lagi adalah dimana salah seorang anggota menepuk senjatanya untuk memanggil atau memberi amaran pada anggota pasukannya. Ada juga satu babak dimana, ayah Kuswadinata menghentakkan kakinya ke lantai rumah sebelum keluar rumah. Aku percaya ini adalah amalan atau petua yang diiringi dengan bacaan surah atau ayat yang bertujuan untuk membuat pendinding pada kawasan rumah.
Walaupun penceritaan agak lemah dan babak pertempuran kurang mantap. Tapi aku rasa ia berjaya menonjolkan kekejaman pengganas komunis pada anggota keselamatan dan rakyat. Semoga filem ini dapat menyuntik semangat patriotik dalam hati dan jiwa anak muda pada masa kini.
Rating : 3.7/10